Ekologi dan kelakuan Orang_utan

Orang utan hidup di hutan primer dan sekunder lama, khususnya hutan pokok ara dan paya gambut. Semua spesies terdapat di kawasan gunung dan paya rendah. Orang utan Sumatera hidup setinggi 1500 m, sementara orang utan Borneo setakat 1000 m.[38] Lain-lain habitat termasuk padang rumput, sawah, kebun, hutan sekunder muda, dan tasik cetek.[39] Orang utanlah jenis mawas besar yang paling banyak hidup dalam pokok.

Orang utan menghabiskan harinya dengan makan, rehat dan berpindah-randah. Mula-mula ia makan selama 2–3 jam pada waktu pagi. Ia berehat pada waktu tengah hari dan bersiar-siar pada lewat petang. Apabila malam tiba, ia mula menyiapkan sarang untuk tidur.[38] Orang utan tidak berenang biarpun pernah dicatatkan bermandi air.[40] Pemangsa utama orang utan ialah harimau belang, diikuti harimau dahan, anjing hutan dan buaya.[38] Ketiadaan harimau di Borneo mungkin adalah sebab orang utan Borneo sering terdapat di tanah daripada saudara Sumatera.[41]

Pemakanan

Biarpun juga makan daun, serangga dan telur burung, makanan utama ialah buah-buahan

Orang utan merupakan pencari makan yang oportunis, dengan corak pemakanan yang berubah dari bulan ke bulan.[42] 65–90% pemakanannya terdiri daripada buah-buahan, terutamanya buah yang isinya bergula atau berlemak. Buah pokok ara sering dimakan dan senang dipetik dan dihadam. Hutan dipterokarp tanah panah digemari kerana banyak buah-buahan. Spesies Borneo mengambil sekurang-kurangnya 317 jenis makanan termasuk daun muda, pucuk, kulit kayu, serangga, madu dan telur burung.[43][42] Orang utan di Sumatera sekali-sekala makan kongkang.[44]

Kajian sedekad terhadap sampel urin dan tinja di Projek Konservasi Orang Utan Gunung Palung di Kalimantan Barat menunjukkan bahawa orang utan melahirkan anak ketika dan selepas musim puncak buah-buahan (itu pun bukan setiap tahun), ketika ia makan pelbagai buah-buahan sebanyak 11,000 kalori sehari. Pada musim kurang buah, ia mana apa sahaja buah-buahan yang ada di samping kulit kayu dan daun sebanyak 2,000 kalori sehari sahaja. Di samping tempoh laktasi lama, orang utan pun mengambil selang yang lama untuk bunting semula setelah sekali beranak.[45]

Orang utan disangka merupakan satu-satunya penyebar benih bagi sesetengah spesies tumbuhan termasuklah spesies memanjat pokok ipuh akar yang mengandungi alkaloid striknina yang beracun.[46] tetapi tidak nampak kesan pada orang utan selain pengeluaran ludah berlebihan.[47][48]

Orang utan pun diperhatikan makan tanah dan batu. Ada tiga sebabnya: untuk menambah zat mineral, untuk mengambil mineral tanah liat yang boleh menyerap bahan toksik; atau untuk merawat penyakit seperti cirit-birit.[49] Orang utan juga menggunakan tumbuhan dari genus Commelina sebagai penawar keradangan.

Pergaulan

Orang utanlah mawas besar yang paling kurang bergaul, tetapi individu sering berinteraksi.

Orang utan hidup lebih bersendiri daripada mawas besar yang lain. Kebanyakan jalinan sosial berlaku antara betina dewasa dan anak yang bergantung tetapi cerai susu. Jantan dewasa dan remaja berdikari kedua-dua jantina cenderung untuk hidup bersendirian.[50] Masyarakat orang utan terdiri daripada individu penetap (resident) dan pepindah (transient) tanpa mengira jantina. Betina penetap hidup bersama anak-anak dalam kawasan tinggal yang bertindan dengan betina dewasa lain yang mungkin sanak-saudara. Kawasan tinggal betina baik satu mahupun banyak terangkum jua dalam kawasan kediaman seekor jantan penetap yang menjadi teman mengawan utama semua betina yang terlibat.[51]

Pepindah jantan mahupun betina berjalan jauh.[50] Orang utan selalunya berjalan sendirian, tetapi juga berjalan secara berkumpulan kecil ketika usir hampir dewasa, namun kelakuan ini tamat apabila masuk dewasa. Struktur sosial orang utan boleh dikatakan "bersendirian tetapi bergaul". Interaksi sesama betina dewasa ada yang mesra, saling menghindari mahupun bermusuhan. Jantan penetap boleh bertindan kawasan kediaman dan oleh itu sering melayan satu sama lain seperti musuh.[51]

Ketika berpencar, betina cenderung untuk tinggal di kawasan kediaman yang bertindan dengan ibunya, tetapi nampaknya tiada jalinan istimewa antara si betina muda dan ibu.[52] Jantan berpencar lebih jauh daripada ibu dan memasuki fasa pepindah yang kekal sehingga jantan itu dapat mencabar dan menewaskan seekor lagi jantan penetap yang berkuasa daripada kawasan tinggalnya.[53] Jantan dewasa menguasai jantan remaja/hampir dewasa.[54]

Orang utan penetap mahupun pepindah berkumpul di pokok buah-buahan besar untuk makan. Buah-buahan itu selalunya banyak, maka kuranglah persaingan dan semua individu dapat bergaul.[51] Orang utan juga membentuk kumpulan kecil untuk berpindah-randah antara sumber makanan.[53] Juga selalu terjadinya jantan dewasa "memperbinikan" (consortship) betina.[51]

Komunikasi

Orang utan berkomunikasi dengan pelbagai bunyi. Jantan membuat teriakan lantang untuk menarik betina mahupun mengingkatkan jantan lain.[55] Jantan mahupun betina akan cuba menakuti rakan-rakan sama spesies dengan teriakan yang garau dan berderum-derum.[56] Orang utan yang diganggu memuncungkan bibir untuk menyedut udara, membuat bunyi "kucupan memekik". Bayi yang tergugat membuat bunyi siut-siut. Orang utan juga diketahui meniup dengan lidah terjulur.[56]

Sarang

Orang utan membina sarang lengkap dengan "bantal", "selimut", "katil bertingkat" dan "atap".

Orang utan membina sarang yang khusus untuk kegunaan siang mahupun malam. Sarang ini dibina dengan teliti; orang utan muda belajar daripada mencontohi binaan ibu. Sebenarnya, pembinaan sarang adalah punca utama orang utan muda meninggalkan ibu buat pertama kali. Mulai usia enam bulan, orang utan berlatih membuat sarang dan mencapai kemahiran menjelang umur tiga tahun.[57]

Pembinaan sarang malam dilakukan mengikuti turutan langkah. Mula-mula dipilihnya pokok yang sesuai. Orang utan berkira memilih pokok biarpun banyak spesies pokok yang digunakan. Kemudian, sarang dibina dengan mengikat-ikat dahan sebagai dasar. Setelah siapnya dasar, orang utan melengkungkan dahan kecil berdaun kepada dasar untuk dijadikan "tilam". Akhirnya, orang utan menenunkan hujung dahan ke dalam tilam untuk menstabilkan sarang. Di samping itu, sarang orang utan boleh ada ciri-ciri tambahan seperti "bantal", "selimut', "atap" dan "katil bertingkat".[57]

Pembiakan dan pembesaran anak

Jantan mencapai kematangan pada umur sekitar 15 tahun, apabila testikelnya cukup turun dan dapat membiak. Akan tetapi, ia menunjukkan perkembangan terbantut dengan tidak tumbuh kelepak pipi, kantung kerongkong mahupun jeritan lantang sehingga umur dalam 15 hingga 20 tahun.[58] Perkembangan ciri-ciri ini amat bergantung pada ketiadaan jantan penetap.[59]

Jantan boleh tumbuh kelepak pipi dengan pantas sekali. Jantan berkelepak lain sekali strategi mengawan daripada jantan tanpa kelepak. Yang berkelepak menarik betina yang estrus (datang bulan) dengan teriakan yang kuat.[60] Teriakan itu boleh membantutkan perkembangan jantan muda.[61] Yang tidak berkelepak pergi ke sana-sini untuk mencari betina yang estrus dan sekali jumpa, ia akan bersetubuh dengan paksaan. Biarpun kedua-dua taktik berhasil,[60] betina lebih gemar pada jantan berkelepak dan meminta perlindungan daripada jantan yang tidak berkelepak.[62] Jantan penetap boleh "memperbinikan" betina selama berhari-hari, berminggu-minggu atau berbulan-bulan selepas bersetubuh.[60]

Bayi hidup berpaut pada ibu selama empat bulan.

Orang utan betina mengovum buat kali pertama pada umur 5.8–11.1 tahun; makin banyak lemak badan makin awal jadinya.[58] Seperti mawas besar lain, orang utan betina masuk tempoh mandul ketika usia remaja iaitu selama 1–4 tahun.[58] Betina juga mempunyai kitaran haid 22 hingga 30 hari. Bunting selama 9 bulan, betina melahirkan anak sulung pada umur 14 hingga 15 tahun.[58]

Orang utan betina berselang lapan tahun antara kelahiran, yang terlama dalam kalangan mawas besar.[58] Berbeza dengan primat lain, orang utan jantan nampak gayanya tidak melakukan infantisid (membunuh anak dalam spesies sendiri). Ini mungkin kerana ia tidak pasti akan menjadi bapa kepada anak akan datang daripada seekor betina kerana betina itu tidak terus mengovum semula selepas kematian anak.[63]

Orang utan jantan jarang sekali terlibat dalam membesarkan anak yang rata-rata dijaga dan dipergaulkan oleh betina. Selalunya ada anak besar untuk membantu ibu mempergaulkan anak.[64] Orang utan bayi amat bergantung pada ibu pada dua tahun pertama. Si ibu akan membawa anak berjalan-jalan, memberi makan dan menemaninya tidur sama sarang.[58] Untuk empat bulan pertama, si anak dibawa pada perut tanpa sekali-kali dilepaskan. Dalam bulan-bulan berikutnya, si anak kurang meluangkan masa bersama ibu.[64]

Apabila mencapai umur dua tahun, anak orang utan lebih pandai memanjat dan akan berjalan-jalan merentas pokok berpegang tangan dengan kawan-kawan.[64] Orang utan muda dalam umur dua ke lima tahun akan mula menjauhi ibu sekali-sekala.[58] Anak orang utan bercerai susu sekitar umur empat tahun. Orang utan remaja bergaul dengan teman sebaya sambil kekal berhubung dengan ibu.[58] Biasanya, orang utan hidup selama lebih 30 tahun di hutan mahupun dalam tawanan.[65]:14

Rujukan

WikiPedia: Orang_utan http://arts.anu.edu.au/grovco/Gorilla%20Biology.pd... http://www.environment.gov.au/tax/reo/index.html http://www.yorku.ca/arusson/Papers/GoI%20OU%20acti... http://www.aljazeera.com/news/asia-pacific/2012/03... http://www.alphadictionary.com/goodword/word/orang... http://www.antaranews.com/en/news/75425/stop-orang... http://www.bbc.com/news/science-environment-418488... http://www.cell.com/current-biology/fulltext/S0960... http://edition.cnn.com/2014/12/23/world/americas/f... http://www.eco-business.com/features/new-deal-for-...